PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), menyambut baik keputusan Kerajaan untuk melanjutkan tempoh pemberian bantuan Program Subsidi Upah (PSU) selama sebulan lagi bagi semua sektor ekonomi yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat atau total lockdown yang berkuatkuasa mulai 1 Jun 2021. Pelanjutan ini dinyatakan oleh YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam semasa mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).
Sebagai satu inisiatif yang telah banyak membantu majikan dan perusahaan mereka untuk terus bertahan dalam mendepani impak pandemik COVID-19 selama ini, PERKESO percaya lanjutan PSU 3.0 ini akan dapat membantu mengurangkan risiko kehilangan pekerjaan atau mata pencarian kepada para pekerja yang majikan mereka terjejas akibat penutupan kebanyakan sektor ekonomi.
PSU 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, di mana semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor. Ia bermatlamat menyokong kelangsungan perniagaan sepanjang tempoh PKP yang menghadapi pelbagai cabaran termasuk kesukaran dalam menguruskan aliran tunai, perbelanjaan utiliti dan sewa premis.